--> Skip to main content

RUU Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 diluluskan

RANG Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini menerusi undian suara.

Ia dibahaskan oleh 27 Ahli Parlimen termasuk pembangkang dengan lebih 10 yang lain mencelah ketika perbahasan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan berkata, RUU berkenaan bersifat kompromi yang memberi keadilan kepada semua.

Katanya, ia selaras hasrat kerajaan supaya RUU berkenaan tidak bersifat menghukum sehingga membebankan mana-mana pihak.

Menurutnya, kesan pandemik ini dirasai oleh semua pihak kerana apabila satu pihak terkesan, bermakna seluruh rantaian ekonomi akan terkesan.

"Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk memastikan kedua-dua pihak diberikan peluang sama rata bagi menyelesaikan pertikaian secara baik," katanya.

Takiyuddin berkata, RUU berkenaan menyokong pelbagai inisiatif pemulihan ekonomi menerusi rangkaian pakej rangsangan.

Katanya, ia memberikan suatu pelepasan sementara daripada tanggungjawab perjanjian atau pematuhan perundangan tertentu bagi tempoh yang ditetapkan demi kelangsungan hidup rakyat.