--> Skip to main content

Rundingan antara kerajaan selesaikan tuntutan ke atas Sabah

KOTA KINABALU: Isu tuntutan Filipina ke atas Sabah harus dipadam menerusi rundingan kerajaan dengan kerajaan di antara Malaysia dan Filipina.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata selagi tiada kata putus membabitkan kedua-dua negara, selagi itu Filipina menimbulkan provokasi.

Beliau menegaskan Filipina perlu diberi kefahaman jelas bahawa tidak timbul lagi isu tuntutan ke atas Sabah kerana kedudukan Sabah dalam Malaysia diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Kita mahu kerajaan Persekutuan berunding secara 'goverment to government' dan beri penjelasan kepada Filipina bahawa referendum Suruhanjaya Cobbold pada 1963 menunjukkan rakyat Sabah memilih Malaysia.

"Jadi tidak timbul lagi tuntutan terhadap Sabah. Isu itu harus dipadam sama sekali," katanya pada sidang media mengenai provokasi Filipina yang dikaitkan dengan tuntutannya ke atas Sabah, di sini, hari ini.

Mohd Shafie menegaskan kegagalan menamatkan isu tuntutan secara mutlak sebelum ini menyebabkan ia timbul semula terutama apabila ada

pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjelang pilihan raya.

Katanya, isu itu tidak sepatutnya dijadikan agenda politik, sebaliknya ia adalah agenda negara yang harus ditangani secara berkesan kerana membabitkan soal kedaulatan.

"Daripada awal lagi isu ini tidak diatasi secara konkrit oleh kerajaan, sepatutnya padam terus kerana sudah ada Suruhanjaya Cobbold yang buat referendum, ia mesti diiktiraf.

"Sejak 1960-an lagi perkara ini sepatutnya sudah ditamatkan dan ia harus dihormati negara di rantau ini. Kita tidak mahu perbalahan berlaku, jika tidak dipadam ia akan jadi besar," katanya.

Beliau berkata, Filipina tidak boleh dibiarkan berterusan menganggap isu itu sebagai perkara kecil kerana ia membabitkan soal kedaulatan dan hubungan antara negara.

Sebelum ini, Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina dilapor membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah di dalam pasport negara itu.

Tindakan itu dianggap satu bentuk provokasi Manila berhubung tuntutannya terhadap Sabah.