--> Skip to main content

Rumah mampu milik buat ATM

KERAJAAN bercadang membina 7,374 unit rumah di bawah program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam masa terdekat bagi membantu warga Kementerian Pertahanan untuk membeli dan memiliki rumah sendiri.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rumah SASaR ATM mampu milik akan dijual pada harga dalam lingkungan RM150,000 sehingga RM250,000, manakala unit premium akan dijual pada harga RM350,000 hingga RM400,000.

"Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Ogos lalu bersetuju secara prinsip terhadap cadangan Kementerian Pertahanan untuk membina rumah berkenaan di Kem Wardieburn dan Kem Genting Klang, Kuala Lumpur.

"Unit mampu milik akan dibina di Kem Genting Klang, manakala unit premium akan dibina di Kem Wardieburn. Harga adalah 30 peratus hingga 50 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa," katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Pada majlis sama, Ismail Sabri turut merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Kempen Pembudayaan Norma Baharu peringkat kementerian itu.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 2,367 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) sedang dibina di seluruh negara tahun ini bagi menambah bilangan RKAT sedia ada bertujuan menampung keperluan anggota ATM.

Menurut beliau, pembinaan dilakukan di Kem Oran (Perlis), Kem Tok Jalai (Kedah), Kem Syed Sirajuddin (Negeri Sembilan), Kem Tumbi (Kelantan), Kem Batu 10 dan Kem Sri Miri (Sarawak), dan Kem Lok Kawi (Sabah).

"Bagi kerja penyelenggaraan RKAT pula, Kementerian Kewangan memperuntukkan sebanyak RM150 juta menerusi Bajet 2020, selain turut menerima suntikan RM50 juta melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat (PRE), dan juga akan digunakan untuk melaksanakan penyelenggaraan bangunan am dan teknikal.

"Sehingga kini sebanyak 3,113 unit RKAT sedang diselenggara dan dinaik taraf, yang dijangka siap sepenuhnya sebelum Oktober tahun ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri turut memaklumkan Kempen Tabung Pahlawan 2020 akan dilancarkan esok sehingga hujung tahun ini dan menyasarkan kutipan sebanyak RM10 juta.

"Dengan tema 'Penghormatan Atas Pengorbanan', objektif utama kempen adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai jasa pahlawan tanah air selain memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan anak muda," katanya.