--> Skip to main content

Rujuk semula Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya rujuk semula Kementerian Kewangan bagi pembatalan atau penilaian semula penawaran tender terbuka terhadap projek yang sudah diluluskan secara rundingan terus atau masih dalam perundingan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa Satu bernilai RM1.2 bilion dikenalpasti antara sebahagian projek yang terbabit dalam rundingan terus ketika pentadbiran PH di bawah Kementerian Kerja Raya sebelum ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata projek lain ialah dua Pakej Central Spine Road (CSR) Pakej 4A dan 4B bernilai RM808.8 juta, dua projek sekolah daif di Sarawak (RM27.1 juta), dua jambatan (Baram dan Lubok Antu) di Sarawak (RM9 juta).

Beliau berkata, senarai projek di bawah Kementerian Kerja Raya ketika pentadbiran PH membabitkan projek yang diberi kelulusan untuk rundingan terus dan ada yang belum dikeluarkan surat tawaran serta masih dalam perundingan.

Sehubungan itu, katanya, terdapat dua projek yang sudah dikeluarkan Surat Niat dirujuk semula kepada Kementerian Kewangan untuk pembatalan dan penilaian semula perlu dibuat supaya tender terbuka ditawarkan iaitu bagi projek jambatan di Baram dan Lubok Antu.

"Saya ingin menjelaskan mengenai kenyataan saya pada pagi Rabu lalu mengenai wujud projek secara rundingan terus di bawah Kementerian Kerja Raya sewaktu pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang dikeluarkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz sebelum ini adalah merujuk kepada projek yang dikeluarkan tawaran dan dimuktamadkan, manakala senarai projek rundingan terus di bawah PH yang ada pada Kementerian Kerja Raya adalah projek yang sudah diberikan kelulusan untuk rundingan terus di bawah pemerintahan PH, ada yang belum dikeluarkan surat tawaran, dan masih dalam perundingan.

"Ada juga keputusan untuk rundingan terus yang sudah diputuskan oleh pentadbiran kerajaan terdahulu telah dirujuk kembali kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan agensi pusat berkenaan, " katanya dalam kenyataan, di sini.

Sebelum ini, Fadillah mengesahkan wujud sebahagian daripada 101 projek bernilai RM6.61 bilion membabitkan kementerian itu yang dikatakan diperoleh secara rundingan terus sewaktu pentadbiran lalu.

Ia susulan pendedahan Zafrul di Dewan Rakyat pada Rabu lalu, bahawa pentadbiran negara ketika diterajui PH selama 22 bulan, meluluskan 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.

Pada masa sama, Fadillah berkata, Kementerian Kerja Raya di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini konsisten dalam menghormati keputusan yang sudah dibuat pentadbiran PH seperti penamatan perjanjian Rakan Pelaksana Projek (PDP) Pan Borneo.