--> Skip to main content

Ronaldo mahu tawan dunia

MILAN: Bintang Juventus Cristiano Ronaldo berkata semangat dan cita-citanya tetap tinggi untuk memecahkan rekod serta menguasai dunia musim depan.

Penyerang Portugal itu memenangi Scudetto keduanya bersama Juventus, tetapi walaupun meledak dua gol ke atas Lyon mereka disingkirkan kelab Perancis itu dalam kelompok 16 Liga Juara-Juara Eropah.

"Dalam persediaan saya menghadapi musim ketiga bersama 'Bianconero', semangat dan cita-cita saya tinggi seperti sedia kala.

"Gol, kemenangan, komitmen, dedikasi, profesionalisme. Dengan segala kekuatan saya dan bantuan berharga daripada rakan sepasukan serta kakitangan Juventus, kami berusaha untuk menguasai Itali, Eropah dan dunia, memecahkan rekod," kata pemain 35 tahun itu.

Bekas bintang Itali dan Juventus Andrea Pirlo menggantikan Maurizio Sarri sebagai pengendali dengan pasukan mensasarkan gelaran liga ke-10 berturut-turut tahun depan.

Namun kegagalan pasukan di Liga Juara-Juara, yang kali terakhir kejuaraan menjadi milik mereka ialah pada tahun 1996, sesuatu yang mengecewakan buat Ronaldo - yang dibeli dari Real Madrid pada tahun 2018 untuk membantu mendapatkan trofi berkenaan.

Ronaldo mencatat beberapa kejayaan peribadi musim lalu, antaranya pemain pertama menjaringkan 10 atau lebih gol Liga Juara-Juara untuk tiga kelab berbeza.

Dia juga menjadi pemain pertama menjaringkan 50 atau lebih gol di Liga Perdana Inggeris, La Liga dan Serie A, dan yang pertama menjaringkan 30 gol atau lebih dalam satu musim untuk tiga liga dalam kelompok lima terbaik Eropah.

Dia menyamai rekod Gabriel Batistuta dan Fabio Quagliarella apabila menjaringkan gol dalam 11 perlawanan Serie A berturut-turut.

Secara keseluruhan Ronaldo meledak 37 gol dalam semua pertandingan, rekod baharu untuk pemain Juventus dalam satu musim.

Namun dia ketinggalan lima gol di belakang Ciro Immobile dari Lazio yang meledak 36 gol untuk memenangi Kasut Emas Serie A musim lalu. - AFP