--> Skip to main content

Rogol anak hingga hamil, bapa terima balasan

SEORANG bapa dijatuhi hukuman penjara 32 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini, atas kesalahan merogol anak kandungnya sehingga hamil pada tahun lalu.

Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan terhadap juruteknik berusia 42 tahun itu selepas dia mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan merogol anaknya yang ketika kejadian berusia 12 tahun.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu secara berasingan, bermula dari tarikh tangkapan pada 12 September 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam Hayat Muhamad.