--> Skip to main content

RM5,000 hadiah tangkap pemanah monyet, biawak

PERSATUAN Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) menawarkan wang tunai RM5,000 kepada individu yang menyalurkan maklumat lengkap berhubung kejadian kekejaman terhadap dua monyet dan biawak di Taman Rimba Kiara dekat Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Presiden Animal Malaysia Arie Dwi Andika berkata, pihaknya menerima maklumat awam melalui media sosial selepas tular gambar serta video kecederaan haiwan berkenaan akibat dipanah.

"Difahamkan, seekor monyet dan seekor biawak mati akibat kejadian itu, manakala seekor lagi monyet dilaporkan cedera akibat dipanah individu tidak bertanggungjawab.

"Berdasarkan video diterima, kami yakin ada individu bersama pemanah berkenaan yang merakam kejadian terbabit sebelum rakaman itu ditularkan di media sosial.

"Justeru, kami menawarkan wang tunai RM5,000, sijil penghargaan serta cenderahati kepada individu yang menyalurkan maklumat lengkap daripada peringkat mengenal pasti pemanah hingga dia (pelaku) dijatuhkan hukuman," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arie berkata, pihaknya difahamkan monyet yang mengalami kecederaan itu masih mempunyai anak panah tertusuk pada badannya.

"Ada pihak cuba mengubati monyet berkenaan, namun usaha terbabit gagal kerana ia melarikan diri dalam keadaan anak panah masih berada di badannya.

"Kami amat memandang serius terhadap isu penganiayaan haiwan tanpa sebab ini dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit.

"Orang ramai diminta jangan bertindak melulu dengan melakukan kekejaman terhadap haiwan terutama kepada haiwan dilindungi, yang tersenarai Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010," katanya.