--> Skip to main content

RM2.9 juta bantu penduduk terjejas akibat Kluster Sivagangga

KERAJAAN Kedah memperuntukkan sebanyak RM2.9 juta bagi membantu 9,678 penduduk yang terjejas akibat penularan Covid-19 di negeri itu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor (Pas-Jeneri) berkata, bantuan itu diserahkan secara sekali gus sebanyak RM300.

"Bantuan RM300 itu diagihkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi (Amanah-Mengkudu) mengenai bantuan dan rangsangan ekonomi kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah kepada penduduk yang terjejas akibat Covid-19.

Muhammad Sanusi berkata, antara inisiatif lain membantu penduduk ialah menerusi program Sentuhan Kasih di kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco).

Katanya, sebanyak RM49,980 diperuntukkan menerusi program berkenaan membabitkan bantuan makanan asas untuk diagihkan kepada penduduk B40 yang terjejas akibat Kluster Sivagangga.

Pada 3 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan Temco di empat kawasan di Kedah iaitu Mukim Ah, Mukim Hosba serta Mukim Binjal di daerah Kubang Pasu serta Kampung Ulu, Padang Sanai di Padang Terap ekoran penularan Covid-19 yang berpunca daripada Kluster Sivagangga.

Kelmarin, Muhammad Sanusi turut memberitahu kerajaan negeri bercadang menamatkan Temco di empat mukim berkenaan lebih awal sebelum 30 Ogos berikutan tiada lagi kes positif Covid-19 yang dicatatkan.

Bagaimanapun, katanya keputusan itu bergantung kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).