--> Skip to main content

Ribuan penunjuk perasaan bantah ketidakadilan kaum di AS

WASHINGTON: Ribuan penunjuk perasaan berkumpul membantah ketidakadilan kaum dan keganasan polis di ibu negara Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat susulan kes lelaki kulit hitam, Jacob Blake ditembak polis kulit putih.

Kumpulan besar itu membanjiri National Mall dan berarak sempena ulang tahun ucapan bersejarah Martin Luther king 'I Have a dream' yang dilakukan di Lincoln Memorial pada 28 Ogos 1963.

Demonstrasi pada Jumaat dengan jolokan 'Get Your Knee Off Our Necks' adalah simbolik kepada George Floyd, yang maut selepas ditekan di tengkuk oleh anggota polis berkulit putih di Minneapolis pada Mei lalu.

Keluarga Floyd, Blake dan Beronna Taylor dilihat bersilih ganti melaungkan ucapan di hadapan lautan manusia yang melaungkan nama-nama mangsa itu berkali-kali.

"Apa yang kita mahu adalah perubahan dan kita ketika ini berada di titik di mana kita mahu perubahan itu. Tetapi kita harus bersama-sama," kata ibu Taylor, Tamika Palmer.

Seperti 57 tahun lalu, anak King, Martin Luther King III berdiri di tangga Lincoln Memorial dan menyeru rakyat AS untuk berjuang menentang ketidakadilan yang tercetus ekoran perbezaan warna kulit dan menyeru supaya menewaskan Presiden Donald Trump dalam pemilihan November ini.

"Kita melalui jalan yang berliku tetapi ia perjalanan yang menuju ke arah keadilan.

"Kita berarak untuk menentang apa yang ayah saya katakan sebagai tiga kejahatan iaitu kemiskinan, perkauman dan keganasan," kata King dalam cuaca panas dengan sesekali dilihat menyapu peluh di dahinya.

Malam sebelumnya di lokasi itu, tembakan bunga api dilepaskan selepas Trump menggulung persidangan prapilihan raya Parti Republikan dengan ucapan penuh kemarahan, berhampiran Rumah Putih.

Dalam perarakan itu, ratusan orang berhimpun termasuk kanak-kanak sehingga lewat petang dan kewajiban memakai pelitup muka dilakukan tetapi pemeriksaan suhu diabaikan kerana jumlah yang terllau ramai.

Selepas ucapan itu, penunjuk perasaan menuju ke kawasan berhampiran Martin Luther King Memorial.

Turut kelihatan tingkap dan pintu kedai ditutup kerana dibimbangi risiko keganasan dan kehadiran polis yang ramai untuk menghalang laluan.

Seorang penunjuk perasaan berkulit hitam, Karisha Harvey, 46, memegang poster Statue of Liberty memegang bayi yang menangis dan dibaluti bendera AS.

"Tidak hadir ke sini bukan satu pilihan," katanya.

Rakannya, Corney Smith, 46 yang berkulit putih turut menyatakan dia bosan mendengar rakyat berkulit hitam di tembak di jalan raya setiap minggu.

Selepas tunjuk perasaan ekoran kematian Floyd, kemarahan rakyat kembali sejak minggu lalu apabila Blake ditembak beberapa kali selepas bergaduh dengan polis di bandar Midwestern, Kenosha.

Menurut peguam mangsa, Blake, 29, terselamat dan sedang dirawat di hospital namun dia mungkin tidak lagi mampu berjalan.

Tindakan polis menggari Blake ketika dirawat walaupun berdepan kemungkinan lumpuh mendatangkan kemarahan banyak pihak. - AFP