--> Skip to main content

Rezeki jual model motosikal RX-Z

"BUKAN motosikal RX-Z sahaja laris sekarang, modelnya turut laris dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peminatnya," kata Muhammad Naim Mohamed ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pengadang Baru, Kuala Terengganu, hari ini.

Muhammad Naim, 28, berkata dia mula berniaga pelbagai jenis model motosikal itu sejak sebulan lalu.

Menurutnya, sehingga kini lebih 600 unit motosikal termasuk 550 model motosikal RX-Z Millenium sudah terjual.

"Selain model motosikal RX-Z itu, motosikal Yamaha Y125Z dan Yamaha Y15ZR turut mendapat sambutan menggalakkan.

"Bagaimanapun, model motosikal RX-Z paling laris dan model motosikal itu dijual dengan harga RM120 hingga RM160 satu unit mengikut jenis motosikal dan tempahan," katanya yang mempunyai Diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Chendering, Terengganu.

Menurutnya, perniagaan model motosikal itu dijalankan sekadar mengisi masa lapang dan tidak menyangka ia memberikan pulangan lumayan.

Katanya, dia sudah lama ingin berniaga untuk menambah pendapatan, tetapi tidak pasti perniagaan apa yang harus dijalankan.

"Maklumlah sekarang semua orang berlumba-lumba berniaga dan kebanyakan perniagaan sudah didominasi dan sukar jika peniaga baru ingin bersaing.

"Bagaimanapun idea menjual model motosikal itu tercetus selepas melihat ramai peminat motosikal RX-Z sehingga menjadi tular dan harga motosikal itu kini melambung tinggi," katanya.

Menurutnya, pembeli boleh mengabadikan nombor pendaftaran motosikal masing-masing pada model berkenaan.

Justeru, katanya, bukan sahaja peminat motosikal RX-yang membelinya, tetapi isteri dan bakal isteri membelinya untuk dihadiahkan kepada suami dan membuat hantaran perkahwinan.