--> Skip to main content

Remaja tunggang Ducati Panigale maut bertembung lori

SEORANG remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan lori dalam kejadian di Jalan 1/1 Taman Sri Impian dekat Kluang, jam 2 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika Nur Muhammad Zul Iskandar Nizam, 18, dalam perjalanan dari rumahnya untuk kedai berhampiran kawasan kejadian.

Katanya, ketika sampai di lokasi kejadian, motosikal berkuasa besar model Ducati Panigale ditunggang mangsa bertembung dengan lori yang datang dari arah bandar Kluang ketika membelok ke kawasan kedai untuk menghantar barang-barang runcit.

"Akibat daripada kejadian itu, mangsa parah di bahagian badan badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Manakala pemandu lori berusia 55 tahun dan anaknya yang juga kelindan berusia 19 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya memberitahu, motosikal berkuasa besar itu adalah milik bapa mangsa.

Menurut Mohd Abduh, mayat mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk proses bedah siasat yang dilakukan jam 6 petang tadi.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk mengenal pasti punca kejadian sebenar," katanya.