--> Skip to main content

Realisasi tindakan lestari penuhi aspirasi kemerdekaan

Setiap akhir Ogos, masyarakat Malaysia menyambut ulang tahun hari kemerdekaan dengan gembira dan bersyukur kerana negara bebas daripada penjajahan Inggeris.

Penjajahan bukan semuanya buruk. Lihat saja pembangunan sedia ada, sebahagiannya dibina berpandukan dasar dan keupayaan penjajah. Merdeka sebetulnya hanya pemindahan kepemimpinan daripada kerajaan Inggeris kepada pemimpin watan yang perlu mengurus negara berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan.

Pada hari kemerdekaan itu, saya baru berusia lima tahun dan tidak memahami apa itu merdeka? Saya masih ingat, kami diberikan bendera Semenanjung Tanah Melayu dan mengibarkan sepanjang jalan ketika pemimpin melalui jalan di pekan kelahiran saya di Jementah.

Sejak itu, saya dibesarkan dalam konteks negara baru merdeka, dihantar ke sekolah rendah kebangsaan, seterusnya ke sekolah menengah kebangsaan dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sekembalinya dari University of Strathclyde, Glasgow dengan ijazah Doktor Falsafah (PhD), saya terus berkerja di UKM sebagai pensyarah, profesor madya hingga menjadi profesor kanan.

Hidup dan aspirasi saya amat terikat dengan perkembangan sebuah negara bangsa yang baru sahaja bebas daripada cengkaman penjajahan dan berusaha melakar wawasan kemerdekaan.

Tahun ini, kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-63. Jika diukur perspektif kehidupan manusia, Malaysia menjadi dewasa dalam kemerdekaan dan tentunya sudah boleh dilaporkan kejayaan dicapai.

Apakah kita setakat lulus saja atau berjaya dengan cemerlang untuk mengisi kemerdekaan? Atau sebaliknya gagal merealisasikan aspirasi bangsa yang memperjuangkan kemerdekaan! Ini persoalan besar sering menghantui fikiran ketika kita menyambut Hari Kebangsaan.

Kita tidak boleh nafikan beberapa pencapaian besar selepas negara mencapai kemerdekaan. Antaranya, Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang menekankan pendidikan untuk semua warga watan. Kini, sumber insan ikhtisas, teknokrat dan ilmuwan kelihatan seimbang antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera.

Kejayaan lain membabitkan pembukaan tanah FELDA untuk masyarakat luar bandar yang tiada pekerjaan; penubuhan PETRONAS untuk pengurusan sumber minyak dan gas serta pembangunan teknologi watan melalui pewujudan PROTON. Begitupun, masih banyak inisiatif baik tidak dapat dilaksanakan dengan jaya kerana kelemahan pengurusan atau campur tangan politik berlebihan.

Tindakan kelestarian melampaui hasrat dan perancangan ke arah kelestarian, ia membabitkan usaha serta tindakan pada semua peringkat masyarakat dan kepimpinan untuk memenuhi aspirasi menjadi negara makmur, kesejahteraan masyarakat terpelihara serta alam sekitarnya dihargai dan dihormati.

Kemerdekaan membolehkan anak watan merancang dan mentadbir negara sendiri ke arah kelestarian.

Tiga perkara pokok dalam isu tindakan kelestarian ialah kemakmuran negara, kesejahteraan sosial dan perkhidmatan alam sekitar yang perlu diteliti daripada perspektif awam.

Dalam konteks kemakmuran negara, tidak dapat dinafikan ekonomi berkembang daripada berasaskan pertanian kepada industri dan perkhidmatan.

Dalam konteks makro, mungkin kita berjaya dengan cemerlang, tetapi kelestarian ekonomi memberikan perhatian kepada isu ekonomi rakyat, agihan saksama, membasmi kemiskinan, industri watan dan pembangunan mesra alam.

Bagaimana agaknya kedudukan kita mengenai tindakan ke arah kelestarian ekonomi?

Kesejahteraan sosial berkait rapat kemudahan disediakan bagi memastikan warganegara berasa selamat dan bebas menjalankan tugas harian. Dalam konteks biasa, kemudahan asas diperlukan ialah peluang pekerjaan, tempat tinggal, bekalan air dan elektrik serta sistem perhubungan cekap.

Berikutnya, mereka mengharapkan sistem pendidikan baik dan kemudahan awam selamat. Malaysia boleh berbangga, aspek kemudahan awam untuk semua sudah hampir dicapai walaupun masih terdapat kekurangan di luar bandar dan isu kualiti perkhidmatan yang masih perlu diatasi.

Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan mengamalkan dasar terbuka, masih berhadapan beberapa isu kritikal iaitu perpaduan, keselamatan awam dan urus tadbir cekap.

Dalam konteks perpaduan kaum, rasa curiga dan kurang percaya antara kaum semakin melebar dengan isu ini tidak mampu diatasi akibat sistem pendidikan kurang memberikan perhatian kepada pembinaan 'negara bangsa.' Ditambah dengan sistem kepartian berteraskan kaum.

Warganegara watan berasa kedudukan mereka semakin tergugat, manakala pengaruh politik dan ekonominya semakin berkurangan. Lebih menyedihkan, gejala paling kotor dalam urus tadbir negara iaitu rasuah dan salah guna kuasa masih dalam keadaan membimbangkan.

Isu perkhidmatan alam sekitar terus terpinggir dan masyarakat serta kepimpinan negara masih berpendapat keupayaan alam sekitar masih tinggi serta tidak mungkin menggugat kesejahteraan masyarakat.

Negara masih menggunakan dasar penjajah dalam mengurus alam sekitar iaitu 'alam sekitar ialah sumber asli untuk dieksploitasi bagi menjana kekayaan.' Dasar eksploitasi bagi mereka 'tepat' kerana mereka menjajah untuk mendapatkan sumber asli dan meraih kekayaan.

Bagaimanapun, bagi kita, ini tanah air, tanah tumpah darah dan negara untuk membina tamadun serta membesarkan anak cucu. Dasar alam sekitar atau sumber asli seharusnya berbeza dengan penegasan perlu diberikan kepada 'alam sekitar memberi perkhidmatan kepada warga' - menyediakan udara bersih, membekalkan air bersih dan sumber bumi untuk keperluan pembangunan dalam negara.

Pengurusan sumber asli perlu memberikan tumpuan utama kepada isu perkhidmatan alam sekitar. Pemuliharaan hutan adalah bagi memastikan ia mampu membekalkan oksigen, menapis pencemaran udara dan menyediakan bekalan air bersih berterusan.

Oleh itu, konsep pengurusan Hutan Simpanan Kekal (HSK) perlu memberikan perhatian kepada perkhidmatan alam sekitar dan lebihannya sebagai hutan pengeluaran atau pertanian hutan. Pemetaan semula daripada perspektif hutan perkhidmatan, warisan dan pengeluaran diperlukan.

Sumber bumi, khususnya sumber mineral, batuan dan landskap perlu mempunyai dasar baharu memberikan penekanan kepada isu perkhidmatan alam sekitar. Sumber bumi tidak boleh diperbaharui dan apabila diterokai berlebihan, akan kehabisan buat selama-lamanya.

Pengurusan sumber bumi perlu dilihat daripada perspektif baharu. Pemikiran mengurus sumber bumi perlu mengambil kira beberapa isu asas, iaitu kelimpahan (banyak atau sedikit kehadiran sumber), kesesuaian penggunaan, kaedah eksploitasi dan penggunaan dalam negara.

Apa berlaku sekarang, sumber bumi untuk dieksport bagi menjana kekayaan segera ialah tindakan terakhir untuk dilakukan.

Malaysia beriltizam bersama negara lain untuk melaksanakan Agenda 2030 iaitu mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). Pelbagai dasar dan perancangan diperkenalkan, begitupun tindakan kelestarian pada pelbagai peringkat tadbir urus dan pelaksanaan masih belum mampu dibudayakan.

Isu ketidaklestarian khususnya berkaitan kesejahteraan masyarakat dan pemuliharaan alam sekitar masih pada tahap kritikal serta menggugat kesihatan dan keselamatan awam. Apa ertinya kemerdekaan jika perkara paling asas iaitu kelestarian tanah air dan warganya kurang diberikan perhatian.

Penulis adalah Pengerusi Pasukan Bertindak, Alam Sekitar & Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM)