--> Skip to main content

Rakyat Malaysia-Singapura kembali rentas sempadan

SELEPAS hampir enam bulan ditutup, Tambak Johor yang disenaraikan sebagai laluan darat paling sibuk di dunia, kini kembali dilalui rakyat kedua negara untuk merentas sempadan, hari ini.

Bagaimanapun, hanya kira-kira 2,060 rakyat kedua negara dibenarkan merentas sempadan kedua negara setiap hari mulai hari ini, namun perlu mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ketat.

Mereka yang dibenarkan merentas sempadan pada pembukaan fasa pertama ini membabitkan skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) bagi individu terbabit perniagaan penting dan tujuan rasmi antara kedua-dua negara.

Selain, skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) yang membabitkan penduduk Singapura dan Malaysia yang memegang pas Imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan pekerjaan memasuki negara terbabit untuk bekerja.

Tinjauan di Tambak Johor mendapati, puluhan warga kedua negara mulai berjalan kaki sama ada dari arah Johor Bahru ke Singapura dan sebaliknya, sejak pintu sempadan dibuka secara rasmi kira-kira 7 pagi tadi.

Kebanyakan mereka dilihat berjalan kaki dalam kumpulan yang kecil sambil membawa beg pakaian masing-masing.

Minggu lalu, Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir, dilaporkan berkata, kuota disediakan untuk pergerakan rentas sempadan antara Malaysia-Singapura di bawah skim RGL dan PCA sudah penuh untuk tiga hari pertama pelaksanaan bermula hari ini.

Baharuddin dilaporkan berkata, pihaknya menerima antara 50 hingga 60 bagi permohonan RGL sehari, selain 6,000 permohonan untuk PCA bagi tempoh berkenaan.

Untuk skim RGL pula, had ditetapkan hanya 400 orang bagi tempoh seminggu, atau sehari antara 50 hingga 60 orang, manakala jumlah pemohon PCA pula hanya 2,000 orang sehari.

Bulan lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dilaporkan berkata, selain dua skim yang dipersetujui itu, terdapat dua lagi skim turut dicadangkan iaitu rentas sempadan setiap hari atas tujuan kerja yang dijangka membabitkan lebih kurang 200,000 rakyat Malaysia dan Singapura serta pembukaan sempadan sepenuhnya.

Namun katanya, untuk skim ketiga dan keempat itu, kerajaan Malaysia dan Singapura masih perlu memperhalusi banyak perkara sebelum ia boleh dilaksanakan.

"Paling utama, kelulusan ke atas cadangan ini tertakluk kepada keupayaan kedua-dua negara melaksanakan ujian saringan Covid-19 secara harian terhadap pekerja yang berulang-alik," katanya.