--> Skip to main content

Rakyat diseru terapkan prinsip Rukun Negara dalam kehidupan

RAKYAT Malaysia diseru sentiasa cekal dan menerapkan prinsip-prinsip Rukun Negara yang berteraskan nilai keamanan, perpaduan dan keharmonian dalam kehidupan seharian.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, ini kerana ia menjadi asas yang membentuk kemerdekaan kita dan memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara.

Katanya, kepelbagaian bangsa, agama dan budaya adalah tonggak utama yang mencorakkan tanah air tercinta ini.

"Kitalah nadi negara dan kita harus hargai khazanah yang tidak ternilai ini.

"Pembangunan negara kita adalah hasil daripada usaha dan kematangan semua rakyat secara bersama," katanya dalam satu kenyataan media sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Halimah berkata, seiring melangkah ke hadapan, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing demi memastikan keharmonian dan perpaduan terpelihara.

"Lebih penting lagi, semangat ini perlu dipupuk dalam hati dan minda anak-anak muda supaya Malaysia terus maju dari segi sosial dan ekonomi," katanya.

Beliau berkata, meskipun sambutan tahun ini berbeza dari terdahulu berikutan Covid-19, perasaan cinta terhadap ibu pertiwi dan kekuatan sebagai sebuah masyarakat yang bersatu padu tetap teguh.

"Walau apa jua cabaran yang melanda, pandemik global sekalipun tidak akan mampu mematahkan semangat perpaduan kita.

"Marilah kita semua sentiasa menjaga diri dengan baik dan semoga Malaysia terus diberkati sebagai sebuah negara yang dinamik, maju dan bersatu," katanya.

Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan kepada semua rakyat Malaysia.

"Bersama kita meraikan semangat perpaduan dan memperingati pejuang kemerdekaan yang sudah membina asas negara yang membolehkan kita berganding bahu dan hidup harmoni sebagai sebuah negara yang bersatu, iaitu Malaysia," katanya.