--> Skip to main content

Pub beroperasi tanpa lesen, ingkar PKPP diserbu

TINDAKAN sebuah pub di Jalan Aminuddin Baki, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, beroperasi tanpa lesen perniagaan sah dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mengundang padah apabila diserbu polis Khamis lalu.

Dalam serbuan 10.25 malam itu, polis turut menahan seorang wanita warga Filipina yang juga pemastautin tetap berusia 53 tahun dipercayai pemilik premis bersama dua wanita juga warga Filipina berusia 37 tahun disyaki pelayan di premis terbabit.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd [email protected] berkata, siasatan lanjut juga mendapati premis ini dibuka tanpa lesen perniagaan yang sah di sisi undang-undang.

Menurutnya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63 bagi kesalahan pemilik premis menggaji warga asing dan Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963.

"Kedua-dua suspek warga Filipina ditahan reman selama 14 hari bermula Jumaat lalu sehingga 26 Ogos bagi siasatan lanjut sementara menunggu laporan dari Jabatan Imigresen.

"Pemilik premis perniagaan pub atau bar dinasihatkan untuk tidak menggaji pekerja asing yang tiada dokumen atau permit kerja yang sah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zairulnizam berkata, tindakan tegas juga akan diambil kepada pemilik premis yang tiada lesen perniagaan yang sah.

"Polis juga menasihati kepada orang awam di kawasan masing-masing untuk memberi maklumat kepada pihak polis mengenai premis perniagaan yang dibuka tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) PKPP dengan menghubungi pihak polis Brickfiedls talian hotline +60322979222," katanya.