--> Skip to main content

Proses demokrasi di Slim terkawal - Polis

PROSES mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim berjalan lancar tanpa insiden yang menggangu gugat ketenteraman, hari ini.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kesemua 12 pusat mengundi mula dibuka pada 8 pagi dan berakhir 5.30 petang tadi.

Katanya, beliau bersama Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain turutn membuat pemantauan di beberapa sekolah atau pusat mengundi di DUN Slim.

"Setakat pemantauan yang dibuat, pihak saya mendapati di awal pembukaan waktu pusat mengundi antara 8 pagi hingga 11 pagi didapati keadaan tenang dan terkawal.

"Hanya berlaku beberapa kesesakan lalu lintas terutama jalan berdekatan pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim, SK Trolak Selatan dan pusat mengundi di SK Aminudin Baki," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Daerah Muallim.

Sulizmie Affendy berkata, kesesakan lalu lintas itu berlaku disebabkan pengundi yang datang untuk menunaikan tanggungjawab dan faktor jalan yang kecil.

Katanya, pihak polis berjaya mengawal keadaan berdasarkan penugasan yang sudah dirancang lebih awal.

"Saya menasihatkan penyokong parti terlibat supaya tidak membuat sebarang perarakan meraikan kemenangan, provokasi atau tindakan yang mengganggu keamanan dan keselamatan," katanya.