--> Skip to main content

PRK Slim: Terima kasih semua

TANJUNG MALIM: "Saya bersyukur dengan kemenangan malam ini. Ini bukti permuafakatan di antara semua pihak termasuk barisan jentera, parti komponen (Barisan Nasional) dan PAS serta BERSATU".

Begitu kata Mohd Zaidi Aziz, 43, yang dipilih sebagai wakil rakyat baharu mewakili BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Mohd Zaidi berkata, kemenangannya itu tanda kerjasama antara semua pihak yang membantu menggerakkan kempen selama 14 hari.

Katanya, dia berterima kasih kepada kepemimpinan tertinggi BN pusat dan negeri iaitu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad.

"Terima kasih kepada bapa, isteri dan anak yang sentiasa mendoakan dan menyokong saya sehingga berada di tahap ini.

"Selain itu, terima kasih tidak terhingga juga kepada UMNO Bahagian Tanjung Malim, kepemimpinan BN, Friends of BN, pimpinan Pas dan bersatu daripada pusat dan negeri," katanya pada sidang media selepas keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim di Majlis Daerah Tanjung Malim.

Mohd Zaidi berkata, semua pihak memberikan komitmen dan kerjasama yang padu sepanjang kempen dan akhirnya BN berjaya mengekalkan kemenangan dengan majoriti yang besar.

"Permuafakatan ini dapat membentuk dan merangka satu gerak kerja yang kuat dan padu selama 14 hari dan hasilnya terbukti dengan kekuatan, keutuhan, kerjasama dan semangat toleransi kita berjaya menang," katanya.

Pada PRK itu BN mempertahan kerusi dengan majoriti 10,945 undi.

Mohd Zaidi meraih 13,060 undi, mengatasi dua calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, dan S Santharasekaran, 44, masing-masing memperolehi 2,115 dan 276 undi.