--> Skip to main content

PRK Slim: Santharasekaran reda keputusan pengundi

SLIM RIVER: Calon bebas, S Santharasekaran, 44, reda dengan keputusan pengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, hari ini.

Beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan pengundi memilih selepas bertungkus lumus berkempen di kawasan DUN Slim sejak 15 Ogos lalu.

Katanya, beliau mengakui pengalaman berkempen dalam PRK DUN Slim akan menjadi kenangan terindah dalam sejarah hidupnya.

"Saya akui, dalam pertandingan sudah tentu ada pihak yang menang dan kalah. Apa juga keputusannya hari ini, saya terima dan reda dengan hati terbuka.

"Andai saya diberi mandat oleh rakyat di DUN Slim maka saya akan menjadi wakil rakyat berusaha melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat.

"Kalau ditakdirkan saya tewas maka saya akur dengan kekalahan itu tetapi ia bukan pengakhiran dalam karier politik saya tetapi ini adalah permulaan," katanya kepada BH, hari ini.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz, 43, dan dua calon Bebas iaitu Santharasekaran dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, mewakili Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG).

• Galeri Pilihan Raya Kecil DUN Slim