--> Skip to main content

PRK Slim: Polis lulus 16 permit ceramah

POLIS meluluskan 16 permit ceramah daripada 17 permohonan yang diterima daripada parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, sehingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, Barisan Nasional (BN) memohon 14 permit ceramah tetapi hanya satu sahaja permohonan yang tidak diluluskan polis.

Katanya, permohonan permit itu tidak diluluskan atas faktor lokasi yang mahu dilakukan ceramah oleh BN kurang sesuai untuk menjalankan aktiviti berkempen dalam PRK DUN Slim.

"Tiga lagi permohonan permit ceramah datang daripada calon Bebas dan semuanya diluluskan.

"Pihak yang berkempen dalam PRK DUN Slim dinasihatkan mengikut prosedur dan undang-undang terutama dari segi masa ceramah yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sulizmie Affendy juga menasihatkan kepada mana-mana parti politik yang berkempen tidak menimbulkan provokasi yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam sepanjang tempoh berkenaan.

"Polis akan mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa terutama dalam aktiviti kempen bagi memastikan undang-undang dipatuhi semua pihak.

"Sehingga hari ini, polis belum menerima apa-apa laporan sama ada membabitkan salah laku atau insiden tidak diingini," katanya.