--> Skip to main content

PRK Slim: Pengundian awal pagi ini

PUSAT pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim dekat Slim River dibuka pada 8 pagi ini.

Ia bagi membolehkan 267 pegawai dan anggota polis menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal pada pilihan raya kali ini.

Pusat pengundian awal itu dibuka bermula 8 pagi hingga 5.30 petang.

Sepanjang proses itu, pematuhan garis panduan pencegahan Covid-19 seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka separuh, penggunaan sanitasi tangan dan saringan suhu badan dilaksanakan.

Proses pengundian awal disaksikan oleh ejen calon dan pemerhati pilihan raya yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain turut disiarkan secara live streaming menerusi Facebook SPR.

Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap IPD Muallim dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian, 29 Ogos ini di pusat pengiraan undi di bilik menunggu di Majlis Daerah Tanjung Malim.

Turut meninjau pusat pengundian berkenaan ialah Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dan calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas, S Santharasekaran dan Amir Khusyairi.

Amir Khusyairi mewakili kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

PRK Dun Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

PRK Dun Slim mencatat sejarah sebagai pilihan raya kedua berlangsung dalam kebiasaan baharu susulan pandemik Covid-19 selepas PRK DUN Chini bulan lalu.