--> Skip to main content

PRK Slim: Patuhi arahan pihak berkuasa

HANYA 30 penyokong calon yang menang dan tiga penyokong bagi calon lain dibenarkan hadir ke pusat penjumlahan undi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim, esok.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, tiada sebarang perhimpunan atau perarakan di mana-mana lokasi sama ada sebelum dan semasa serta selepas penjumlahan rasmi undi dibenarkan.

Katanya, larangan itu juga termasuk ketika pengumuman keputusan PRK Slim yang membabitkan penyokong-penyokong parti politik.

"Pengundi juga diingatkan sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seperti menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

"Tangan juga perlu sentiasa dicuci dengan cecair pembasmi kuman yang terdapat di setiap pusat mengundi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sulizmie Affendy juga mengingatkan pengundi agar keluar mengikut masa yang digalakkan seperti tercatat pada kad pengundi masing-masing.

"Langkah ini akan dapat mengurangkan dan mengelakkan kesesakan di semua pusat mengundi nanti," katanya.