--> Skip to main content

PRK Slim: 96.25 peratus keluar mengundi awal

SEBANYAK 96.25 peratus pengundi awal membabitkan pegawai dan anggota polis keluar menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim.

Statistik keluar mengundi awal pada 5.30 petang itu dimuat naik di Facebook Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Proses pengundian awal diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim bermula 8 pagi hingga 5.30 petang.

Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap IPD Muallim dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian, 29 Ogos ini di pusat pengiraan undi di bilik menunggu di Majlis Daerah Tanjung Malim.

Turut meninjau pusat pengundian berkenaan pagi tadi ialah Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dan Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman.

Selain itu, dua daripada calon bertanding iaitu calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dan calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi turut hadir melihat perjalanan mengundi awal di pusat pengundian.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas, S Santharasekaran dan Amir Khusyairi.

PRK Dun Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, 15 Julai lalu akibat serangan jantung.