--> Skip to main content

PPM rampas 483 karton minuman keras

SEBANYAK 483 karton minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai bernilai RM810,898.20 berjaya dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua dalam dua serbuan di Pasir Gudang, semalam.

Komander PPM Wilayah Dua Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, dalam operasi itu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 46 tahun yang dipercayai penjaga premis.

Katanya, sebelum itu Unit Risikan Marin membuat pemantauan terhadap aktiviti penyeludupan berkenaan bermula dari pesisir pantai Forest City hingga dibawa menaiki kenderaan ke tempat simpanan sementara di premis yang ditetapkan.

"Pasukan risikan yang memantau dan mengekori kenderaan itu kemudian bertindak menyerbu tempat simpanan arak sementara yang pertama pada jam 4 petang.

"Dalam serbuan itu, lelaki terbabit ditahan dan hasil soal siasat terhadapnya membawa kepada serbuan kedua pada jam 5.30 petang," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kesemua minuman keras itu dipercayai diletakkan di tempat simpanan sementara sebelum diedar kepada pasaran.

Katanya, selain arak, kenderaan jenis Honda Odyssey yang digunakan dalam kegiatan itu turut dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM910, 898.20.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil.