--> Skip to main content

Polis tahan 9 pelacur

KUALA LUMPUR: Sembilan pelacur warga Vietnam dan Indonesia antara 12 yang ditahan dalam serbuan di rumah urut tanpa lesen di Seri Kembangan, Selangor.

Mereka yang berusia antara 18 hingga 35 tahun ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Bukit Aman, kira-kira jam 5 petang semalam.

Ketua Penolong Pengarah D7, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata tangkapan itu turut membabitkan tiga warga tempatan, masing-masing dua pelanggan dan seorang penjaga premis.

Premis itu, katanya, menjalankan kegiatan pelacuran menggunakan applikasi WeChat, MiChat dan WhatsApp, membabitkan wanita warga asing.

Wang tunai bernilai RM400, buku catatan jadual kerja pelacur, empat telefon bimbit, 15 peket kondom, tiga botol minyak pelincir, tiga paket tisu basah dan dua tuala antara barang dirampas dalam serbuan itu.

"Aktiviti dijalankan ialah khidmat urut, termasuk seks kepada pelanggan dengan bayaran sehingga RM160 bagi setiap perkhidmatan.

"Premis yang beroperasi antara jam 1 tengah hari hingga 3 pagi, setiap hari ini dikawal seorang lelaki, mempunyai pintu kawalan bermagnet dan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelak daripada diserbu pihak berkuasa," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, risikan mendapati premis terbabit mula beroperasi pada 2019, tetapi ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa, pada Mac lalu.

"Premis ini dibuka semula secara curi-curi, selain terletak di kawasan perindustrian dan perumahan di deretan rumah kedai tiga tingkat, sejak Julai lalu.

"Semakan mendapati premis ini tidak mempunyai lesen perniagaan sah.

"Semua tangkapan, rampasan dan pelanggan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang bagi tindakan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan; Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 serta Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.