--> Skip to main content

Polis siasat kes panah monyet, biawak

POLIS menerima satu laporan berhubung kejadian penganiayaan terhadap monyet dan biawak yang dikatakan berlaku di Taman Rimba Kiara dekat Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd [email protected] berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang kakitangan Jabatan Landskap Negara berhubung perkara itu pada 5.18 petang.

"Pengadu memaklumkan dia menerima tangkap layar dan video menerusi aplikasi WhatsApp pada 6.15 petang, Sabtu lalu, memaparkan seekor monyet dianiaya dengan busur panah tertusuk di bahagian ekornya.

"Malah, terdapat satu gambar lain memaparkan seekor biawak dianiaya dengan cara sama iaitu busur panah tertusuk di bahagian badan haiwan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zairulnizam berkata, pengadu mengesyaki kejadian itu berlaku di Zon Arboretum Taman Persekutuan Bukit Kiara, Taman Tun Dr Ismail.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang jika disabitkan kesalahan membawa hukuman penjara tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Katanya, saksi kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22979222 untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) menawarkan wang tunai RM5,000 kepada individu yang menyalurkan maklumat lengkap berhubung kejadian terbabit.

Berita berkaitan

• 'RM5,000 hadiah tangkap pemanah monyet, biawak'