--> Skip to main content

Polis Sarawak pandang serius isu 'flying kick'

ANGGOTA polis trafik yang menendang seorang penunggang motosikal sehingga terjatuh di Sibu kini diarahkan bertugas di pejabat sementara siasatan dijalankan ke atasnya.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, siasatan dijalankan ke atas anggota itu membabitkan pelanggaran tatatertib.

"Sekiranya terbukti anggota trafik itu bertindak di luar batasan peraturan, tindakan tatatertib akan dikenakan terhadapnya.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak memandang serius kejadian ini," katanya dihubungi hari ini.

Menurut Aidi, setakat ini, penunggang motosikal itu juga tidak membuat laporan polis berkaitan kejadian.

Anggota cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu itu disiasat susulan video tular yang menunjukkan dia menendang seorang penunggang motosikal sehingga terjatuh.

Kejadian berlaku pada Op Motosikal di Jalan Temple, Sibu jam 12.15 tengah hari, 25 Ogos lalu.

Kejadian dirakam oleh orang awam sebelum ditularkan. Rakaman menunjukkan seorang anggota trafik menendang penunggang motosikal yang membuat pusingan 'u' secara tiba-tiba.

Aidi berkata, hasil pemeriksaan mendapati, penunggang terbabit tidak mempunyai lesen memandu selain cukai jalan motosikal sudah tamat tempoh.

"Penunggang motosikal itu juga akan disaman kerana menunggang secara melawan arus selain mengubah suai ekzos," katanya.

Berita berkaitan: