--> Skip to main content

Polis Johor keluarkan 29 kompaun ingkar arahan pakai pelitup muka

JOHOR BAHRU: Sebanyak 29 kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai pelitup muka, hasil 389 pemantauan pematuhan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri ini sejak semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata setakat jam 12 tengah hari tadi, tiga kompaun dikeluarkan di Iskandar Puteri, manakala 26 lagi Kota Tinggi.

"Mulai 1 Ogos (semalam), pemakaian pelitup muka berkuat kuasa terhadap orang ramai di dalam pengangkutan awam serta kawasan sesak tumpuan ramai seperti pasar raya, pasar awam, bank dan taman rekreasi.

"Orang ramai yang dikesan gagal mematuhi arahan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini akan dikenakan kompaun RM1,000 mengikut Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Bagi memastikan SOP PKPP berhubung arahan memakai pelitup muka dipatuhi orang ramai, PDRM Kontinjen Johor akan membuat pemantauan di kawasan tumpuan ramai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau sekali gus memberi amaran bahawa pihaknya akan mengambil tindakan tegas, termasuk melakukan tangkapan, sekiranya orang ramai masih mengingkari SOP PKPP.