--> Skip to main content

PN: MIC tarik diri ikut keputusan Dewan Tertinggi BN

TROLAK: Keputusan MIC menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN) seperti dimaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) hari ini, adalah berdasarkan keputusan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia bermakna MIC bukan lagi jawatankuasa penaja PN yang sudah didaftarkan dan disahkan itu.

Beliau berkata, sokongan BN kepada PN, hanya sokongan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, selain UMNO parti di bawah BN, iaitu MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) tidak menyertai PN sebagai komponen.

"Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, setakat ini UMNO dan PBRS sahaja yang menjadi parti komponen BN di negeri itu," katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan BN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di FELDA Residence Trolak di sini, hari ini.

Difahamkan Ahmad Zahid hadir perjumpaan tertutup bersama Pengarah Jentera PRK DUN Slim, Datuk Saarani Mohamad.

Ahmad Zahid berkata, keputusan semua calon UMNO dan PBRS menggunakan lambang BN dalam PRN Sabah sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kami tidak merasakan parti lain akan menggunakan lambang BN setakat ini. Ini kerana PN buat kali kali pertamanya akan cuba untuk menggunakan lambang PN di PRN Sabah dan kita menghormati keputusan PN itu," katanya.