--> Skip to main content

PM sokong naikkan kompaun

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menyokong cadangan Kementerian Kesihatan untuk menaikkan kadar kompaun ke atas mereka yang ingkar peraturan Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

Perdana Menteri berkata, cadangan itu mahu menaikkan kadar kompaun bagi kesalahan berkaitan, sekurang-kurangnya dua atau tiga kali ganda daripada kadar sekarang.

"Perkara ini perlu diperhalusi dan Akta 342 itu perlu dipinda terlebih dahulu," katanya dalam perutusan khas perlanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), malam ini.

Selain itu, Muhyiddin turut mengucapkan syabas dan terima kasih kepada para petugas barisan hadapan dan seluruh rakyat Malaysia kerana dapat mengawal wabak COVID-19.

Katanya, wabak itu dapat kita kawal kerana semua mengambil satu tanggungjawab yang serius untuk mencegah COVID-19.

"Ini termasuk mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dan membudayakan norma baharu kehidupan," katanya

Muhyiddin berkata, sungguhpun demikian, penularan COVID-19 di peringkat global masih belum menunjukkan tanda akan berakhir dalam waktu yang terdekat.

"Sehingga kini, 22 juta kes positif COVID-19 dilaporkan dengan lebih 780 ribu kematian. Negara-negara jiran kita juga masih berusaha keras untuk menangani penularan COVID-19," katanya.

"Alhamdulillah, kehidupan seharian kita telah berjalan hampir seperti biasa melalui amalan norma baharu sepanjang pelaksanaan PKPP. Penularan wabak COVID-19 dalam negara adalah terkawal dengan hanya satu digit kes positif baharu dicatatkan pada masa-masa tertentu," katanya.