--> Skip to main content

Peti undi pertama tiba jam 5.07 petang

TANJUNG MALIM: Peti undi pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim membabitkan pegawai dan anggota polis di bawa masuk ke pusat penjumlahan rasmi undi, di Majlis Daerah Tanjung Malim, Tanjung Malim.

Peti undi berkenaan menjadi peti undi pertama tiba pada 5.07 petang.

Sebelum ini, ia disimpan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim selepas pengundian awal pada Selasa lalu.

Proses pengundian bagi PRK DUN Slim bermula 8 pagi hingga 5.30 petang, hari ini membabitkan 22,749 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat baharu.

PRK Dun Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas, S Santharasekaran dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Sebanyak 12 pusat mengundi dibuka itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Sulaiman; SK Trolak Utara; SK Trolak Selatan; SK Seri Besout; SK Besout 3 dan 5; SK Kuala Slim; SK Slim River; SK Aminudin Baki; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungkai; SJKT Ladang Kelapa Bali dan SJKT Trolak.