--> Skip to main content

Peti undi awal mula dibawa ke pusat penjumlahan

PETI undi pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim membabitkan pegawai dan anggota polis dibawa ke pusat penjumlahan rasmi undi di Majlis Daerah Tanjung Malim, Tanjung Malim.

Difahamkan, peti undi berkenaan menjadi peti undi pertama tiba pada 5.07 petang.

Sebelum ini, ia disimpan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim selepas pengundian awal dibuat pada Selasa lalu.

Proses pengundian bagi PRK DUN Slim bermula 8 pagi hingga 5.30 petang tadi membabitkan 22,749 pengundi menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat baharu.

PRK Dun Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas, S Santharasekaran dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Sebanyak 12 pusat mengundi dibuka itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Sulaiman; SK Trolak Utara; SK Trolak Selatan; SK Seri Besout; SK Besout 3 dan 5; SK Kuala Slim; SK Slim River; SK Aminudin Baki; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungkai; SJKT Ladang Kelapa Bali dan SJKT Trolak.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

PRK DUN Slim turut mencatat sejarah sebagai pilihan raya kedua berlangsung dalam kebiasaan baharu susulan pandemik Covid-19 selepas PRK DUN Chini bulan lalu.