--> Skip to main content

Pesilat negara 'muntah angin' ketika latihan

KUALA LUMPUR: Latihan selama 51 hari di Sungkai, Perak bermula 3 Ogos lalu bagi mempraktikkan kaedah dan peraturan baharu dalam pertandingan silat memperlihatkan ramai pesilat negara 'muntah angin'.

Perkara itu didedahkan oleh Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin selepas diberikan taklimat oleh pegawai Institut Sukan Negara (ISN) yang mengikuti latihan di sana.

"Di Sungkai, saya dapat tengok beberapa pertandingan dilakukan sesama mereka. Pada 30 hari bulan ini kita akan lawan lagi dengan peraturan baharu ini. Hampir semua pesilat muntah angin, dan ada seorang ini yang saya sedih melihatnya, hampir kena sawan.

"Baru saya tahu dalam dunia perubatan sukan ini ada perkataan 'hutang oksigen' sebab dia tak mampu menarik nafas kerana serangan yang bertali arus, maka oksigen tidak sampai ke otak. Ini diberitahu oleh pegawai perubatan daripada ISN kerana dia ada di sana dan berlakunya sawan itu kerana hutang oksigen.

"Maka bayangkan, kalau mereka tak cukup bersedia, ini boleh berlaku kepada sesiapapun. Walaupun mereka tahu peraturan, tetapi kalau tidak bersedia sebarang kemungkinan boleh berlaku sekiranya tidak ada persediaan diri yang mencukupi," kata Megat dalam satu video dikeluarkan di laman YouTube Silat PESAKA.

Peraturan baharu yang lebih ekstrem ini dijadual dipraktikkan pada Kejuaraan Silat Dunia di Kuching, Julai tahun depan.

"Jurulatih perlu memikirkan satu bentuk latihan berbeza dan lebih ekstrem. Saya akui, jurulatih kita berpengalaman daripada sudut cara latihan, kaedah latihan, persediaan pesilat di mana kita bentukkan badan dia. Ia memerlukan sesuatu yang berbeza daripada dulu.

"Bukan taktikal saja, tetapi badan kena kuat dan kena bertahan serangan bertali arus. Kalau lemah, saya fikir tak boleh bertahan lebih daripada satu pusingan. Saya juga sudah minta biro teknikal PESAKA untuk mengadakan satu jadual.

"Saya juga mungkin perlu memikirkan tenaga pengajar, kalau seorang tak jadi. Mesti ada satu pasukan yang akan boleh menjelajah ke seluruh negara. Ini kerana kaedah pertandingan ini akan diguna pakai pada 2021 dan kita perlukan persediaan awal," katanya.