--> Skip to main content

Persembahan ATM penyeri sambutan Hari Kebangsaan

SERAMAI 200 anggota membabit tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat persembahan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2020 Peringkat Negeri Pahang di Stadium Tertutup SUKPA Indera Mahkota, Kuantan, Isnin ini.

Ia membabit 25 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), 60 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan 115 anggota Markas Empat Briged (Mekanize) Kem Batu, di Kuantan.

Pegawai Pemerintah Empat Kompeni Kor Polis Tentera Diraja (KPTD), Mejar Mohammad Sarifuddin Hassan berkata, setiap cabang ATM akan mengadakan persembahan profesional mengikut kepakaran masing-masing.

Menurutnya, TUDM membuat persembahan pancaragam serta nyayian dan TLDM pula mengadakan pertunjukkan kawat senyap bersama senjata yang mampu menghiburkan penonton.

"Kemuncak persembahan ATM adalah demonstrasi tempur tanpa senjata (TTS) yang dilakukan

58 penuntut kursus asas TTS Siri 16/2020 Empat Kompeni KPTD (Mekanize).

"Pasukan daripada 12 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) membuat persembahan pentomin pertempuran dengan pengganas Komunis di Sungai Chalit Raub.

"Turut diadakan persembahan latihan jasmani dan aktiviti lasak seperti rebahan, lawan gabungan, bertarung rapat menggunakan senjata cotar, pistol dan bayonet. Seterusnya aktiviti pemusnah menggunakan genting, papan dan lompatan berhalangan sebagai peralatan tambahan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan raptai penuh sambutan hari kebangsaan ke-63 peringkat negeri hari ini.

Hadir sama Panglima Empat Briged (Mekanize) Brigedier Jeneral Zaidan Atan yang juga Urusetia Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri.

Menurut Zaidan, sambutan hari kebangsaan kali ini disambut dalam norma baharu apabila perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.