--> Skip to main content

Permulaan yang baik - Mora

KUANTAN: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT) Benjamin Mora bangga dengan komitmen anak buahnya selepas menewaskan Pahang 3-2 di Stadium Darul Makmur, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, kemenangan itu sudah pasti meningkatkan motivasi terbaik buat Harimau Selatan, sekali gus mengekalkan kedudukan di tangga teratas Liga Super.

"Saya gembira dengan kemenangan ini terutama pasukan berjaya mengutip tiga mata sebaik saingan Liga Malaysia (Liga M) bersambung.

"Pada masa sama, hampir enam bulan tidak beraksi yang turut dirasai pemain profesional dan memerlukan masa dalam mempamerkan persembahan terbaik.

"Bagi saya, tiga mata yang diraih ini cukup bermakna walaupun Pahang berusaha bangkit tetapi kami berjaya mengawal perlawanan sehingga tamat perlawanan," katanya.

Mora berkata, skuadnya mampu menambah jaringan pada babak kedua perlawanan untuk memberi keselesaan tetapi ia gagal disempurnakan pemain.

Beliau juga memuji pemainnya kerana berjaya mengawal perlawanan selepas kebangkitan yang dilakukan Pahang dalam usaha mencari gol penyamaan.

"Dengan kemenangan ini saya harap semua pemain dapat bermain dengan lebih baik pada perlawanan akan datang," katanya.

Pada perlawanan itu, tiga gol JDT, masing-masing dijaringkan oleh Leandro Velazquez pada minit keempat diikuti Muhammad Ramadhan Saifullah Usman (m-14) dan Gonzola Gabriel (m-34).

Dua gol Pahang pula masing-masing satu dijaringkan Mohd Faisal Abdul Halim minit ke-39 dan Herold Goulon (m-45).