--> Skip to main content

Permudahkan urusan untuk percepat pemulihan ekonomi

KETUA jabatan dan agensi kerajaan serta semua penjawat awam diminta mengambil langkah mempermudahkan semua urusan dalam usaha mempercepat pemulihan ekonomi negara.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan urusan seperti permohonan dan pembaharuan lesen tidak boleh dilengahkan kerana orang ramai memerlukan dokumen itu untuk menjalankan perniagaan.

Menurutnya, prosedur yang perlu dipatuhi dalam semua urusan di semua bidang ekonomi yang sebelum ini memakan masa lama perlu dipermudahkan dengan mengambil langkah sewajarnya.

Beliau memberi contoh kelulusan lesen unggas yang berkaitan dengan aktiviti penternakan seperti ayam ketika ini mengambil masa sehingga dua tahun untuk diselesaikan.

"Kenapa lama, begitu juga lesen lain, ada yang sehingga enam bulan. Kita tidak perlu tunggu lama, sebulan cukup atau kurang daripada itu adalah lebih baik," katanya ketika majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Persekutuan di Kota Kinabalu, hari ini.

Muhyiddin berkata, banyak kedai yang tutup disebabkan pandemik Covid-19 juga perlu memperbaharui lesen dan ia akan memberi masalah kepada peniaga jika permohonan mereka mengambil masa yang lama.

Sehubungan itu, beliau mahu ketua jabatan melihat perkara itu segera dan mengemukakan cadangan bagaimana mereka dapat mempermudahkan urusan dengan orang ramai dalam usaha mempercepat pemulihan ekonomi.

Katanya, walaupun beliau tahu penjawat awam tertakluk kepada pelbagai pekeliling yang perlu dipatuhi, namun ia bukan alasan memandangkan keadaan ketika ini berbeza disebabkan Covid-19.

"Penjawat awam perlu berfikir di luar kotak dan ia memerlukan keberanian, ketegasan dan tidak dilambatkan.

"Saya minta penjawat awam fikir langkah sewajarnya," katanya.

Sementara itu, katanya kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha mendigitalkan urusan dengan memantapkan lagi program pendigitalan negara yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Menurutnya, usaha itu adalah antara pengajaran yang dilihat kerajaan daripada situasi Covid-19 berikutan banyak urusan terpaksa dilakukan secara dalam talian.

Beliau berkata, jika usaha itu dilaksanakan sebelum ini, pasti tidak timbul masalah pembelajaran secara dalam talian ketika sekolah ditutup sebelum ini.