--> Skip to main content

Permintaan tinggi sarung tangan, untung Rubberex lonjak 858 peratus

KUALA LUMPUR: Rubberex Corporation (M) Bhd (Rubberex) meraih pendapatan RM88.1 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 58.4 peratus lebih tinggi berbanding RM55.6 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan lebih tinggi dicatatkan dipacu permintaan tinggi terhadap sarung tangan pakai buang susulan penularan COVID-19.

Berdasarkan prestasi positif itu, kumpulan itu mencatatkan keuntungan selepas cukai lebih tinggi kepada RM23 juta, meningkat mendadak 858 peratus berbanding hanya RM2.4 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Syarikat dalam satu kenyataan, berkata kebenaran beroperasi ketika situasi pandemik dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) memberi sokongan positif kepada syarikat.

Pengarah Urusan Kumpulan Rubberex, Khoo Chin Leng, berkata syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk menghadapi cabaran pandemik berikutan peningkatan permintaan ke atas produk keluarannya.

Katanya, barisan pengeluarannya kini beroperasi dengan kapasiti penuh dengan pesanan yang diterima hingga akhir pertengahan 2021 dan harga purata jualan (ASP) ketika ini tidak menunjukkan tanda kejatuhan dalam tempoh pendek.

"saya yakin walaupun dengan harapan adanya vaksin, faktor kepentingan kesihatan dan tahap kesedaran mengenai keselamatan akan memacu permintaan sarung tangan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dengan rekod margin dan jualan yang diraih, Rubberex mencadangkan terbitan bonus sehingga 554,850,234 unit saham baharu pada asas dua saham bonus bagi setiap satu unit saham Rubberex sedia ada yang dipegang pada tarikh terbitan yang akan ditentukan dan diumumkan kemudian oleh Lembaga Pengarah bagi menghargai pemegang sahamnya.

Cadangan terbitan bonus dijangka menambah asas modal saham Rubberex, mencerminkan pertumbuhan lebih baik dan pengembangan perniagaannya serta meningkatkan kecairan dagangan sahamnya.

Ia juga akan meningkatkan akses pelaburan dalam Rubberex dan membolehkan penyertaan yang lebih besar pelabur sambil memperluas asas pemegang sahamnya.

Bagaimanapun, pemegang saham utama Rubberex, Datuk Eddie Ong Choo Meng mendakwa suku tahun terbaik bagi pengeluar sarung tangan belum dicapai dan harga semasa dalam keseluruhan industri di bawah tahap sebenar.

Sementara itu, Rubberex berkata, fasa pengembangan seterusnya dijangka dicapai pada suku keempat 2020 di mana ia menjangkakan kapasiti pengeluaran melonjak dua kali ganda kepada 2.5 bilion keping setiap tahun dari 1 bilion keping ketika ini.

"Kumpulan secara konsisten akan mempertingkatkan kemampuan kami untuk memenuhi permintaan global yang kukuh.

"Syarikat juga akan memanfaatkan asas pelanggan dan jaringan pemasarannya yang mantap sambil terus mencari peningkatan dalam kecekapan pengeluaran dan saluran pengedaran untuk mencapai pendapatan dan nilai yang lebih tinggi untuk pemegang saham," katanya.