--> Skip to main content

'RELA perlu seiring dengan kerajaan PN' - PM

KOTA KINABALU: Perdana Menteri mahu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terus bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan negara kekal aman dan membangun.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, RELA adalah antara platform terbaik kerajaan ke arah memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

"Sebagai barisan penting di negara ini, saya harap RELA akan terus bersama kerajaan untuk membangunkan Malaysia menjadi negara maju aman dan harmoni," pada majlis perhimpunan bersama anggota RELA Sabah di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, hari ini.

Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi pakaian seragam tambahan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Sabah.

Katanya, ia adalah sumbangan kecil kerajaan dalam menghargai khidmat bakti cemerlang di Sabah.

"Saya harap anggota RELA akan terus bekerja menjaga keamanan dan keselamatan Sabah dengan sebaiknya," katanya.