--> Skip to main content

Perlu ditetapkan standard kualiti pelitup muka

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menetapkan satu standard atau piawaian khusus bagi menjamin kualiti pelitup muka yang dijual ketika ini.

Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata tidak ada satu mekanisme khusus ketika ini yang boleh memantau kualiti pelitup muka yang dijual di pasaran.

FOMCA banyak menerima aduan dan rungutan berhubung kualiti pelitup muka yang dijual, khususnya membabitkan tali dan bahan digunakan.

"Paling sering kami terima ialah tali yang mudah putus dan fabrik cepat terkoyak. Ada juga yang terlalu nipis dan seakan tidak berfungsi untuk melindungi pemakai," katanya kepada BH ketika dihubungi di sini hari ini.

Selama ini penekanan banyak diberi hanya ke atas jenis pelitup muka bagaimana yang perlu digunakan.

"Saya lihat ada keperluan untuk ditubuhkan satu (pasukan) pemantau bagi mengawasi kualiti pelitup muka, termasuk yang dijual secara dalam talian," katanya.

Mohd Yusof juga mengakui, lambakan pelitup muka di pasaran ketika ini menyebabkan orang ramai sukar membezakan kualiti yang ada, melainkan apabila sudah dibeli.

"Kita sebenarnya boleh lihat berdasarkan harga diberi penjual. Jika harga ditawarkan itu jauh lebih murah daripada yang biasa dijual, berkemungkinan besar kualitinya juga rendah," katanya.