--> Skip to main content

Perjudi diri demi upah RM500

TEKONG sebuah bot yang membawa 500 kilogram daun ketum terjun ke laut bagi melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), hari ini.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 50 tahun terbabit gagal apabila ditahan pada jarak 0.9 batu nautika di perairan Kuala Perlis dekat Kangar pada 2.30 pagi.

Pengarah APMM Zon Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, pihaknya mengesan tekong itu membawa daun ketum bernilai RM10,000 menerusi bantuan unit Unmanned Aircraft Systems (UAS) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, bot peronda APMM dikerahkan ke kawasan terbabit sejurus menerima maklumat berkenaan sebelum menemui bot lelaki itu dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika pihak APMM mendekati bot berkenaan yang dalam perjalanan menghala ke Thailand, tekong terbabit bertindak mengemudi botnya ke arah daratan, namun berjaya dihalang.

"Selepas usahanya gagal, dia bertindak terjun ke laut untuk melarikan diri tetapi kami berjaya menangkapnya sebelum melakukan pemeriksaan di dalam botnya," katanya pada sidang media di pejabat APMM Zon Kuala Perlis, Kangar, hari ini.

Mohd Shafie berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan berjaya menemui 50 plastik hitam seberat 10 kilogram setiap satu yang diletakkan di atas lantai.

"Lelaki terbabit mengaku dia menerima upah antara RM500 ke RM1,000 bagi setiap perjalanan membawa daun ketum ke Thailand kerana mendapat permintaan tinggi di negara jiran itu.

"Malah, penyeludup juga licik apabila dikesan akan membawa daun ketum dengan bot pada waktu tertentu khususnya pada paras air cetek bagi mengelakkan daripada ditahan," katanya.

Katanya, suspek direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.