--> Skip to main content

Perdaya bekas adun, warga emas dipenjara 2 tahun

SEORANG warga emas dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Ampang, hari ini atas 19 kesalahan memperdayakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Datuk Hasan Mohamed Ali sehingga kerugian RM340,000.

Mohammad Aidid Mohd Sharif, 72, yang didakwa di dua mahkamah berasingan mengaku bersalah atas semua pertuduhan itu.

Majistret Nor Maizan Rahim menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap tertuduh manakala di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar, dia dijatuhkan hukuman penjara 20 bulan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu semalam.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, Mohammad Aidid didakwa dengan curangnya memperdayakan Hasan sehingga menyerahkan wang sebanyak RM340,000 secara berperingkat.

Ia sebagai pinjaman untuk proses mencairkan wang tertuduh di Bank of London yang tertuduh janji akan membayar semula pinjaman tersebut berserta imbuhan bagi membantu projek Kompleks Anjung Husnul Khatimah yang dijalankan oleh mangsa.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Ampang Point di sini antara 29 Januari 2019 hingga 30 Disember 2019.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Sangitaa dan Nur Intan Syakieraah Zakaria memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh mengambil kira mangsa mengalami kerugian besar.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia tidak mempunyai pendapatan selain mengharapkan wang daripada anak dan mempunyai penyakit parkinson.

Mengiku fakta kes, Hasan memberi pinjaman wang sebanyak RM340,000 secara ansuran kepada tertuduh yang memerlukan wang untuk perniagaannya di London untuk dibawa ke Malaysia.

Pengadu dijanjikan akan membayar semula pinjaman wang tersebut berserta dengan bantuan untuk membangunkan Kompleks Anjung Husnul Khatimah, bagaimanapun sehingga kini pengadu belum menerima pinjamannya semula serta imbuhan yang dijanjikan.