--> Skip to main content

Perak Bison jangka saingan STL lebih sengit musim ini

KUALA LUMPUR: Juara Liga Perdana Sepak Takraw League (STL), Perak Bison menjangkakan persaingan lebih sengit bakal dihadapi mereka apabila kempen musim 2020 dijadual membuka tirainya pada 8 September ini.

Begitupun bagi pemainnya, Amirul Ramadhan Fazillah Suhaimi, pasukan sudah melakukan persiapan yang rapi dalam usaha mempertahankan gelaran selain cuba mempertingkatkan lagi kerjasama.

"Untuk kali ini, kami melakukan persiapan yang lebih rapi, mengikut jadual latihan diberikan jurulatih. Persaingan itu tentunya ada tetapi InsyaAllah saya dan rakan-rakan akan buat yang terbaik untuk STL kali ini.

"Kami akan tambah kerjasama sepasukan untuk kami kalahkan pasukan lain," katanya selepas majlis memperkenalkan jersi baharu musim STL 2020 yang ditaja oleh syarikat jenama sukan terkenal, Li-Ning.

Semua 10 pasukan yang dijadual bersaing musim ini akan memakai jersi tajaan dan rekaan daripada Li-Ning sebagai penaja pakaian rasmi STL 2020.

Jersi baharu STL tahun ini tampil dengan rekaan menarik dan bahan kualiti lebih baik selain teknologi pembuatan yang ringan untuk keselesaan pemain.

Jersi ini didatangkan dengan dua rekaan iaitu tuan rumah dan tempat lawan. Peminat STL boleh mendapatkan jersi pilihan masing-masing di gedung-gedung Li-Ning yang berdaftar atau secara online di www.Li-Ning.my, www.sportsclick.my, Shopee dan juga Lazada.

Pengurus Penjenamaan Li-Ning, Teah Yann Ling berkata, selepas melihat potensi yang ada di STL mereka yakin untuk meneruskan lagi komitmen selepas tajaan pertama pada tahun lalu.

"Kami melihat sukan sepak takraw sebagai sukan yang unik dan sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat. Suntikan STL juga menghangatkan lagi pengaruh sukan ini serta mempunyai potensi cerah menjadi permainan yang diminati ramai di seluruh dunia.

"Sukan yang penuh gaya seperti ini harus diberi peluang dan kesempatan untuk terus maju ke hadapan. Dengan skil ditampilkan dalam setiap gerakan, dan juga potensi bintang pada pemain sepak takraw moden tempatan, sukan ini mampu menjadi ikutan masa kini," katanya.