--> Skip to main content

Penyelarasan gred pegawai perubatan kontrak akan dibentang ke Kabinet

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan membentangkan kertas cadangan penyelarasan Pegawai Perubatan Kontrak gred UD41 ke UD43 ke Kabinet dalam masa terdekat.

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kertas cadangan itu akan menyaksikan pegawai perubatan kontrak mendapat gaji hampir sama dengan lantikan tetap.

Beliau berkata, ketika ini pegawai bagi kedua-dua gred berkenaan menjalankan tugas sama, namun menerima gaji yang berbeza.

"Pegawai Perubatan Kontrak gred UD41 prinsipnya ialah upah mengikut kerja dan memikul beban tugas setara dengan lantikan tetap yang dinaikkan pangkat ke gred UD44.

"Begitu juga dengan farmasi dan pergigian. Ia dilaksanakan supaya perancangan untuk menambah baik laluan kerjaya dapat memelihara keharmonian di tempat kerja bagi pekerja tetap dan kontrak bagi meningkatkan motivasi pegawai semasa bertugas," katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai apakah kementerian bercadang untuk memberi Pegawai Perubatan Kontrak kemudahan yang setara dengan Pegawai Perubatan Tetap.

Dr Adham berkata, kementerian juga sentiasa memberi peluang kepada pegawai lantikan kontrak untuk melanjutkan pelajaran melalui latihan.

Beliau berkata, mereka perlu melepasi ujian tertentu dalam kementerian sebelum melaksanakannya secara peribadi atau ditaja menerusi latihan hadiah persekutuan.

"Kita cadangkan kontrak lebih panjang dan ini waktu yang baik untuk mereka mengambil laluan kepakaran selain daripada yang dilantik tetap ada hadiah latihan persekutuan," katanya.