--> Skip to main content

Penjara 4 tahun tukar jadi 8 tahun

MAHKAMAH Tinggi Kuala Terengganu, hari ini, mengenepikan hukuman penjara empat tahun terhadap seorang tukang kebun atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua beradik lelaki.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas menerima rayuan pihak pendakwaan sebelum menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap Mohd Sabarudin Zulkifli, 36.

Bagaimanapun, Abdul Wahab mengekalkan hukuman tiga sebatan dan pengawasan polis selama dua tahun mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 sebaik tertuduh selesai menjalani hukuman penjara yang dijatuhkan sebelum ini.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk menambah hukuman penjara dengan alasan hukuman dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu sebelum ini terlalu ringan dan tidak memadai dengan kesalahan dibuat memandangkan mangsa adalah kalangan kanak-kanak di sekolah tertuduh berkhidmat.

Pada 11 Disember tahun lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan tiga sebatan selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 14 (B) dan 14 (D) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Tertuduh yang berdepan tiga pertuduhan dikenakan hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan bagi setiap kesalahan namun mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua berjalan serentak bermula tarikh tangkap iaitu pada 25 November 2019 diikuti hukuman penjara bagi pertuduhan ketiga.

Bagaimanapun, Abdul Wahab hari ini mengenepikan keputusan dibuat sebelum ini dengan menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan namun mengarahkan hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua berjalan serentak bermula tarikh tangkap diikuti hukuman penjara bagi pertuduhan ketiga.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 13 tahun di dalam stor di belakang sebuah sekolah di daerah ini pada 23 November 2019.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi mangsa berusia 15 tahun di lokasi sama pada 10 Ogos 2019.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam daripada Muhamad Ramlan & Co.