--> Skip to main content

Peningkatan obesiti kanak-kanak membimbangkan

MALAYSIA menduduki tangga ketiga teratas di Asia mencatatkan peratusan tertinggi bagi obesiti kanak-kanak.

Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini berkata, peningkatan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak semakin membimbang.

Menurutnya, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2015, seramai 11.8 peratus yang berusia bawah 18 tahun didapati mempunyai masalah obesiti.

"Malaysia juga menduduki tangga ketiga teratas antara negara Asia yang mencatatkan peratusan tertinggi bagi obesiti kanak-kanak.

"Kita perlu memandang serius terhadap masalah obesiti kanak-kanak kerana perkara ini akan memberi kesan pada masa akan datang jika tidak dibendung dari awal," katanya.

Katanya, golongan inilah yang akan mentadbir negara pada masa depan dan obesiti boleh menyumbang kepada kematian pramatang (premature death) ketika dewasa disebabkan penyakit tidak berjangkit berkaitan obesiti seperti diabetes, hipertensi, hiperkolesterolemia dan penyakit kardiovaskular.

"Obesiti kanak-kanak ditentukan dengan merujuk kepada graf Indeks Jisim Tubuh (BMI)-untuk-umur. Amalan pemakanan yang sihat dan gaya hidup yang aktif antara kunci utama bagi mengelakkan masalah obesiti.

"Ibu bapa dan keluarga memainkan peranan yang penting terutamanya dalam memberi sokongan dan dorongan. Mereka perlu menunjukkan contoh terbaik kepada anak-anak untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat," katanya.