--> Skip to main content

Peniaga tali barut premis pelacuran

PEMILIK premis perniagaan dipercayai menjadi tali barut sindiket pelacuran yang membocorkan maklumat serbuan pihak berkuasa selain menyediakan laluan tikus kepada pelacur melarikan diri.

Perbuatan segelintir pemilik premis itu dibongkar hasil Operasi Tebah dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar Jalan Petaling, Jalan Silang dan Chow Kit, hari ini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, operasi dilakukan bagi membanteras kegiatan haram seperti pelacuran, perjudian, penjualan minuman keras, perniagaan tanpa lesen, mengubahsuai premis tanpa kebenaran dan pendatang asing tanpa izin (Pati).

Menurutnya, operasi bersepadu bermula jam 2 petang itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Katanya, dalam serbuan itu, sebanyak tujuh premis dikenakan tindakan penutupan serta-merta kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan berniaga tanpa lesen sah DBKL.

"Anggota turut menyerbu premis disyaki menawarkan pelacuran tetapi ketika serbuan dilakukan tiada tangkapan dibuat.

"Kita percaya sindiket pelacuran mempunyai pelbagai kaedah seperti menggunakan 'runner' yang membocorkan maklumat serbuan, memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan mempunyai pintu lain untuk melarikan diri.

"Kita kesan ada kedai runcit yang terletak di bahagian bawah menyediakan pintu keluar secara rahsia kepada mereka.

"Kedai runcit kemungkinan buat ubah suai struktur bangunan dan tindakan itu salah. Kalau betul ia berlaku DBKL akan minta pemilik premis betulkan semula," katanya dalam sidang media Operasi Tebah di Jalan Petaling, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosio-Ekonomi) DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff.

Santhara berkata, dalam serbuan itu, sebanyak 78 barangan termasuk kondom, tilam dan bantal dirampas selain memecahkan 164 papan atau sekatan antara bilik.

Katanya, serbuan dibuat hasil risikan selama tiga minggu yang membolehkan kita mengesan lokasi panas kegiatan tidak bermoral itu.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan mahu 'memerdekakan' Jalan Petaling atau lebih dikenali sebagai Petaling Street daripada dibanjiri peniaga warga asing.

Katanya, pihaknya mendapat aduan golongan terbabit mengugut dan berkelakuan seperti samseng ketika menjalankan perniagaan.

"Justeru, saya minta masyarakat jangan beli barang daripada mereka (warga asing). Ada aduan kata apabila mereka tawar-menawar dan tak beli, mereka diugut oleh penjual yang berkelakuan seperti gengster.

"Kita mahu memerdekakan Jalan Petaling. Bandar kita, kalau penuh dengan peniaga warga asing apakah ertinya kemerdekaan kepada warga Kuala Lumpur," katanya.

Beliau mahu menjalankan tanggungjawab diberikan rakyat, tidak mahu tunduk kepada tekanan politik dan merayu kepada orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan.