--> Skip to main content

Pengurusan sampah enam pulau di Langkawi dinaik taraf

KERAJAAN bersedia menaik taraf sistem pengurusan sampah dan sisa pepejal menggunakan teknologi terkini di enam pulau dalam gugusan Pulau Langkawi agar lebih efektif dan cekap.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, langkah itu diyakini mampu menjadikan pulau peranginan terbabit lebih bersih dan selesa.

"Dalam pemerhatian saya sistem pengurusan sampah di enam pulau di perairan Langkawi perlu dinaik taraf kerana berpotensi menjadi tarikan pelancong dan mempunyai masa depan yang cukup baik.

"Antaranya, Pulau Besar Basah, Pulau Anak Tikus,Pulau Teluk Dalam, Pulau Teluk Mempelam, Pulau Gua Cerita dan Pulau Pasir Panjang," katanya pada sidang media selepas menyaksikan Demonstrasi Jentera 'Beach Comber' di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah, Zaidi Tuah.

Ismail berkata, ketika ini pembersihan sampah di enam pulau terbabit dilakukan menerusi kerja amal badan bukan kerajaan (NGO) dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat swasta.

"Perkara ini (naik taraf) akan dibincang lebih serius di peringkat kementerian dan pastinya turut membabitkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

"Pengurusan sampah yang sempurna di tempat tumpuan pasti memberi impak kepada kunjungan pelancong yang lebih ramai dan membawa pulangan kepada penduduk tempatan," katanya.