--> Skip to main content

Pengurus bank cedera tertembak

PENGURUS bank cedera di lengan kanan selepas pengawal keselamatan bertugas terlepas tembakan dalam kejadian di bank terbabit di Jalan Bandar Baru Rawang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 1.20 tengah hari.

"Siasatan awal mendapati pengawal keselamatan berusia 26 tahun itu terlepas tembakan sebaik sahaja keluar dari tandas di bank berkenaan.

"Akibat itu, mangsa berusia 57 tahun cedera di lengan kanan, dan dia dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Selayang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati pengawal keselamatan itu bekerja di bank berkenaan sejak Januari 2019.

"Siasatan lanjut juga mendapati suspek memiliki lesen membawa dan menggunakan senjata api.

"Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960," katanya.