--> Skip to main content

Penghargaan buat petugas barisan hadapan

MENARA Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar mensasarkan 15,000 pengunjung daripada kalangan petugas barisan hadapan sempena promosi 'Untukmu Wiraku'.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Ainol Shaharina Sahar berkata, promosi yang berlangsung selama sebulan bermula hari ini adalah hadiah buat petugas barisan hadapan yang mempertaruhkan kesihatan dan keselamatan demi mengatasi pandemik Covid-19.

"Petugas barisan hadapan daripada pelbagai pangkat dan masih bertugas layak mendapatkan tawaran percuma ini dengan hanya menunjukkan dokumen kerja sah ketika pembelian tiket di kaunter Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar.

"Manakala pengiring pertama dan kedua dikenakan bayaran RM10 setiap seorang dan pengiring ketiga serta seterusnya dikenakan bayaran diskaun 50 peratus daripada harga asal RM71 dewasa dan RM36 kanak-kanak," katanya di Majlis Pelancaran Promosi 'Untukmu Wiraku', Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, pakej istimewa ini tidak mempunyai kuota terhad pengunjung selagi promosi berjalan bermula hari ini hingga 16 September ini.

"Promosi ini dikhaskan untuk petugas barisan hadapan warganegara Malaysia yang berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Kami juga sedang merancang untuk memberi tawaran istimewa ini kepada petugas barisan hadapan lain seperti penghantar makanan pada kempen yang akan datang," katanya.