--> Skip to main content

Pengedar dadah Myanmar dicekup

WARGA Myanmar disyaki pengedar dadah antara 14 orang yang ditahan dalam Ops Sarang di Bukit Malut, Langkawi pada hujung minggu lalu.

Operasi dua hari itu dilaksana secara bersepadu membabitkan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi dan Pasukan Polis Marin (PPM).

Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Deputi Superintendan Roszemi Mat Derus berkata, Bukit Malut antara lokasi panas penagihan dadah dan kerap diserbu bagi mengekang jenayah.

Katanya, dalam operasi pada Jumaat dan Sabtu itu, 14 individu diberkas berusia 20-an hingga 40-an termasuk dua pengedar dadah dengan seorang daripadanya warga Myanmar.

"Ketika serbuan, ada penagih yang sanggup terjun ke dalam selut dan muara untuk melarikan diri tetapi berjaya ditahan.

"Kita juga menemui lima paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis heroin seberat 166 gram dan tiga paket syabu seberat 16.5 gram daripada dua pengedar dadah," katanya ketika ditemui.

Roszemi berkata, kedua-dua lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala 11 individu disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan seorang lagi mengikut Seksyen 39(a)(1) akta sama.

Beliau turut memberi amaran kepada penduduk di kawasan terbabit supaya tidak menjadi tali barut pesalah, sebaliknya bekerjasama dengan polis bagi mengekang penyalahgunaan dadah.

Dalam pada itu, penduduk Bukit Malut bimbang kegiatan penagihan di situ mendorong jenayah lain dan berharap polis dapat membasmi jenayah berkenaan.

"Serbuan dilakukan diharap mengurangkan penagih di sini (Bukit Malut)," katanya yang enggan dikenali.