--> Skip to main content

Pengawal keselamatan didakwa aniaya anjing

PENGAWAL keselamatan didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini atas pertuduhan menganiaya anjing pada November tahun lalu.

K Krisnamurthy, 60, yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran mengaku tidak bersalah dan minta dibicara selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa berlaku kejam atau secara tidak munasabah menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor anjing di Jalan Berangan menghala ke Taman Sri Wang pada 11.05 malam, 10 November 2019.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah Azizi Ngah Ahmad manakala Krisnamurthy diwakili peguam Datuk S Ganesan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 20 September ini untuk sebutan semula kes.